Tuesday, October 21, 2008

Bila sang ketam menjadi seekor beruang

Negeri Pelangipura ialah salah sebuah negeri jajahan takluk Negara Pena Emas. Seperti yang diketahui dalam hikayat sebelum ini, Pelangipura ditadbir oleh bapak ketam iaitu Mister Nestle, ataupun lebih popular lagi dinamakan sebagai Mister Krabs. Adapun para hulubalang beliau ialah Badan dan Nyawa (ketam-ketam batu) dan juga Puan Susu Cap Junjung.

Bukanlah sang penglipurlara memperihalkan darihal Pelangipura ini, tetapi lebih kepada sambutan perayaan Hari Raya oleh Negara Pena Emas ini. Sambutan tahunan ini biasanya dianjurkan buat rakyat jelata dari segenap pelosok negara menjamu selera sambil mengeratkan tali silaturrahim. Tidak kurang juga pelbagai fahaman dan ketidakfahaman melulu saling bertukar di sebalik sate, lemang, rendang dan macam-macam lagi dengan perbelanjaan keseluruhan tidaklah diketahui melainkan oleh pemerintah de facto negara Pena Emas yang bukan digelar Perdana Menteri, tetapi digelar Ketua Pemerintah Eksekutif ataupun digelar dengan popularnya sebagai Sir CEO. Pemerintah sebenar bukanlah dinamakan Pengerusi Eksekutif, tetapi lebih sesuai dinamakan sebagai Mister Chancellor. Agak fascist bunyinya, kan?

Adapun saban tahun sebuah syarikat rangkaian makanan segera terkemuka iaitu Awi Dicu & Wak-Wak selalu menaja makanan dan beer halal kepada para rakyat jelata Pena Emas. Oleh kerana nama Awi Dicu amat kuat pengaruh Siam Chulalongkorn Phra Ong Chao Fa Ramakhamhaeng Shinawatra dan terlalu panjang untuk disebut, maka mereka amat dikenali di peringkat antarabangsa sebagai A-D&W2 sahaja. Beer halal mereka, bukannya minuman keras seperti Pakcik Jack mahupun Tuan Carlsberg itu amat digemari dan juga hidangan anjing panas serta burgernya yang lazat. Dan A-D&W2 juga dikenali dengan maskotnya iaitu beruang grizzly A-D&W2 yang gemuk gedempol itu.

Diceritakan bahawa Mister Krabs amat sukakan majlis besar-besaran seperti itu kerana padanya beliau rasa seperti dimanjakan oleh pihak pemerintah Pena Emas yang baik hati itu. Dan kerana usaha membodek Sir CEO untuk kekal memerintah tidak berjaya serta malu dengan barisan kabinet oleh kerana dasar-dasar ketam bersepadunya itu, maka Mister Krabs bermuram durja. Hendak berbaju Melayu takut sendat sangat, lagipun nanti disuruh duduk bersama pemerintah negara untuk bersama-sama menyedekahkan duit raya amat merunsingkannya. Sudahlah berlagak seperi bapak ketam, kedekut pula tu. Dan disebabkan populariti beliau menurun kerana Pakatan Ungu lebih suka menonton kartun Spongebob Squarepants, Mister Krabs mendapat satu idea yang membolehkannya turut serta dalam majlis itu.

Pada hari kejadian, beberapa rakyat Pelangipura hadir memeriahkan suasana bersama keluarga masing-masing seperti Encik Juruterbang, Encik Pereka Fesyen, Encik Kamera, Puan Artis Body Baik Punya, Puan Drama Korea, Encik Speaker, Encik Jean Todt dan ramai lagi. Badan dan Nyawa juga kelihatan. Dalam kemeriahan berhari raya bersama pemerintah, makanan dan juga tajaan A-D&W2, rakyat jelata juga dihiburkan dengan kehadiran maskot A-D&W2, iaitu Si Beruang 'Grizzly' Bebear. Dengan gaya berjalannya yang seperti gendang-gendut-tali-kecapi, kenyang-perut-senang-hati itu menarik minat ramai kanak-kanak untuk berhibur bersamanya. Maskot Bebear itu amat leka dengan perhatian mereka tanpa menyedari segala gerak-gerinya diperhatikan secara telus dan teliti oleh Encik Juruterbang dan Encik Pereka Fesyen.

"Kau perasan sesuatu tak dengan Maskot Bebear bodoh tu?" tanya Encik Pereka Fesyen.

"Yalah, serupa kukenal juga bentuk badan, gaya jalan dan suaranya itu," balas Encik Juruterbang.

Kerana tidak cukup puas hati dengan hanya memerhati, Encik Juruterbang mengarahkan sebuah jet pejuang F15 Dassault Falcon milik penuh beliau untuk terbang menjalankan aktiviti perisikan tanpa dikesan radar. Dia amat pasti seseorang yang amat mereka kenali disebalik kostum Maskot Bebear itu.

"Romeo-Sierra-India, report your position," demikian arahan Encik Juruterbang melalui menara kawalan udara beliau.

"Romeo-Sierra-India at your requested position, sir. Three-six-November degrees east, five-two-Echo north. To report sightings inside target's costume, over."

"Apa yang kamu lihat? Laporkan kepada saya."

"Target bermisai lebat, berseluar paras dada, tuan. Melalui imbasan radar, ianya seperti seekor ketam besar, tuan."

"Baiklah, Romeo-Sierra-India. Anda diarahkan balik ke pangkalan. Roger out." Dengan senyum puas Encik Juruterbang mengumumkan bahawa pelakon Maskot Bebear itu tidak lain tidak bukan ialah Mister Krabs!

Padanlah gaya dan rupa luaran Maskot Bebear itu serupa saja gayanya dengan Mister Krabs. Memang rupa-rupanya beliaulah dalangnya. Oleh kerana cover beliau sudah terbongkar, Mister Krabs cepat-cepat menanggalkan kepala dan membuka zip kostum Maskot Bebear sebelum menyambar tiga cucuk sate ayam daripada tangan seorang tetamu majlis dengan penuh perasaan terguris. Malulah Mister Krabs kerana semua orang memerhatikannya. Sir CEO, Mister Ketua Pencatat Kertas, Mister Sumber Manusia dan lain-lain pembesar negara ketawa terbahak-bahak kohok-kohok sambil mengejek Mister Krabs yang sedang mengulum tiga cucuk sate dengan hanya berbaju petak dan masih berseluar Maskot Bebear paras dada. Merahnya muka beliau seakan-akan dimasak secara steamboat di sebuah restoran di Hong Kong.

Maka Mister Krabs pun berlari dengan pantas persis sepit ketamnya menyepit rumpai-rumpai laut di laut. Dengan kemaluan besar itu, beliau mula memakukan fahaman komunisme ala Joseph Stalin terhadap rakyat Pelangipura untuk sambutan Hari Raya peringkat Kabupaten Jual Beli di mana Mister Krabs punya idea tersendiri untuk menjadi lebih terkenal di mata semua. Adakah Mister Krabs berjaya lagi?

Khallas.

4 comments:

sheikh mustafa kamal al aziz said...

Bravo....

Satu idea spontan yang sungguh klasic. Saya masih menunggu siri terakhir, tentu happening!

Anonymous said...

Wah...ada sambungan...can't wait...kalau dibukukan boleh jadi bestseller...Hikayat Mister Krabs...huhuhu.

sheikh mustafa kamal al aziz said...

R. S. Isk,
Awat hang tak gunakan Atroman bagi melenyapkan ketam-ketam tu, tak kan watak 'hero' tu diketepikan begitu saja...?

Rocco Iskandar said...

Mana boleh guna Ultraman... dah tak logik la. Elok2 perihal ketam ni aku buat berbaur politik lagi mau letak Ultraman. Cukuplah aku letak Encik Juruterbang kat dalam nu...