Sebelum ke Bandung, aku memang pernah mendengar tentang Gunung Tangkuban Perahu. Tetapi legenda yang membayangi gunung itu tidaklah kuketahui sehinggalah aku menjumpai legenda ini sewaktu mempersiapkan diri mempelajari segala hal tentang Bandung yang telah dilawati minggu lepas.
Maka diceritakanlah perihal legenda Sangkuriang yang punya kaitan dengan pembentukan Gunung Tangkuban Perahu dan juga teori keringnya Tasik Bandung.
Pada zaman dahulu, ada seorang raja (Sungging Perbangkara) yang gemar berburu. Di hutan ketika berburu, raja ini mahu membuang air kecil dan melepaskan hajatnya dalam sebiji tempurung kelapa di tengah hutan. Kebetulan, pada waktu yang sama, seekor khinzir betina (sebenarnya dewi yang disumpah), Wayungyang, sedang mencari air untuk diminum. Dan sudah ditakdirkan khinzir itu meminum air dalam tempurung tadi tanpa mengetahui apakah ia.
Beberapa lama kemudian, ditakdirkan oleh para dewata, Wayungyang (dalam bentuk khinzir) mengandung dan melahirkan seorang puteri yang amat cantik. Raja tersebut, yang berburu lagi terpesona dengan kecantikan puteri itu lantas membawanya ke istana dan dilayan bagaikan puterinya, lalu dinamakannya Dayang Sumbi a.k.a Rarasati. Adapun Dayang Sumbi ini sememangnya cantik jelita (keturunan raja dan dewi), maka raja amat menjaganya dengan begitu baik sekali.
Adapun hobi Dayang Sumbi ialah bertenun kain. Pada satu ketika, sedang elok bertenun kain maka jatuhlah alatan Dayang Sumbi ke tanah. Kerana tingginya anjung istana daripada tanah, maka tiadalah mahu Si Dayang turun mengambilnya. Memandangkan tiada sesiapa yang mahu mengambilnya, Si Dayang berbisiklah, "Maka sesiapa yang membantuku, akan kutunaikan janjiku. Jika yang membantu seorang perempuan, nescaya kulayan umpama adikku; tetapi akan lelaki yang mengambilnya, nescaya kukahwini lelaki ini." Maka ditakdirkan seekor anjing jantan, Si Tumang, datang mengambilnya. Oleh kerana janjinya, Si Dayang pun berkahwin dengan Tumang (sebenarnya dewa yang tersumpah). Berpindahlah mereka berdua dari kota dan bahagia bersama lalu Si Dayang melahirkan seorang anak lelaki yang sihat dinamakannya Sangkuriang.
Akan Sangkuriang ini amat sayangkan ibunya, tapi tiadalah dia mengetahui Tumang itu bapanya. Kegemaran Sangkuriang ini ialah berburu (diwarisi datuknya si raja). Pada hari kejadian, keluarlah Sangkuriang berburu bersama Tumang akan menurut kehendak ibunya yang mahu memakan hati rusa. Berburulah mereka di hutan dara tanpa menjumpai apa-apa. Sedang perjalanan pulang, Sangkuriang terjumpa seekor khinzir betina yang sihat (Wayungyang? Mungkin juga) dan memerintah Tumang agar mengejarnya. Tiadalah Tumang mahu memburunya, lantas amarahnya Sangkuriang lalu pulanglah dia ke pangkuan ibunya.
Akan sampainya di rumah, Sangkuriang menyediakan lauk untuk ibunya. Sedang mahu bersantap, Si Dayang bertanyakan perihal Tumang, kerana tanpanya tiadalah mahu dia makan, dan bongkarlah pekung akan Tumang ialah bapa kepada Sangkuriang. Terkejut dengan kebenaran, Sangkuriang mengaku membunuh Tumang kerana degilnya memburu di hutan dan lauk masakannya ialah Tumang yang terhidang. Betapa amarahnya Dayang Sumbi lalu disisanya Sangkuriang dengan senduk hingga lukalah kepalanya. Lantas Dayang Sumbi meninggalkan anaknya sendiri tatkala Sangkuriang pengsan dek luka besar itu.
Sedari pengsannya Sangkuriang berwisata seluruh alam, membesar dan menjadi pahlawan terbilang dengan kuasanya yang makbul. Hampir 20 tahun, maka sampailah dia ke suatu tempat dimana mahulah dia menetap dan jatuh cinta dengan seorang gadis yang amat cantik. Kedua-duanya saling mencintai dan berjanji untuk bermahligai melayari hidup bersama.
Sehari sebelum sampai waktu berkahwin, keluarlah Sangkuriang unuk berburu. Sedang keluar, gadis itu mengikat rambutnya dan terlihat bekas luka di kepala Sangkuriang. Terimbas semula akan kehilangan anaknya 20 tahun yang lampau, takutlah gadis ini untuk mengahwininya kerana dia, Dayang Sumbi, mahupun Sangkuriang tiada lagi mengenali antara satu sama lain. Terdedah pada kebenaran ini, Sangkuriang terkaget, tetapi tetap mahukan mereka berdua bersatu. Akan tidak mahu melanggar hukum alam dengan mengahwini anaknya sendiri, juga tidak mahu menolak permintaannya kerana cinta, Si Dayang memberi Sangkuriang dua syarat yang perlu dipenuhi menjelang fajar menyingsing demi pernikahan mereka, iaitu membendung sungai Citarum kepada sebuah tasik yang besar dan membina perahu untuk mereka berbulan madu di tengah-tengah tasik.
Dengan segala kuasa yang ada, Sangkuriang bertapa dan menitah para semangat dan dewata membantunya mengempang sungai Citarum dan membina perahu besar demi cintanya terhadap Dayang Sumbi. Akan hampir siaplah perahu itu, Dayang Sumbi ketakutan, kerana bakal terlaksanalah janjinya; maka dititahkan para dewatanya merentang sanggul selendang merahnya di ufuk timur dan mengibarkannya untuk menerbitkan cahaya seakan fajar dimana ayam-ayam berkokok dan para petani mulai turun ke bendang.
Hairanlah Sangkuriang akan terbitnya fajar, kerana tahulah dia usahanya sia-sia. Begitu amarahnya dia dengan pembohongan fajar seraya menendang perahu ke tengah tasik sehingga terbalik, dibuangkan kayu-kayunya dan dibongkarkan sungai Citarum sehingga kering. Larilah Sangkuriang jauh sehingga akhirnya hilang ke alam ghaib, begitu juga Dayang Sumbi ghaib. Maka diceritakanlah bahawa perahu yang tertangkup itulah jadinya Gunung Tangkuban Perahu, sebatang tunggul itu menjadi Gunung Batu Tunggul dan puing-puingnya menjadi Gunung Burangrang. Akan tasik Citarum yang terbendung itu keringlah, lalu kota yang didirikan di tengahnya dinamakan Bandung, sempena perkataan Bendung (menakung air yang terkumpul). Sungai Citarum masih lagi mengalir sekarang, merentasi wilayah Jawa Barat dan Jawa Tengah berdekatan bandar Cirebon dan tidak jauh dari Bandung sekarang.
Begitulah kisahnya Gunung Tangkuban Perahu terjadi dan di tasik yang kering inilah kota Bandung berdiri megah di Jawa Barat seperti sekarang. Arakian kisah ini tidaklah seperti tragedi Greek purba, Oedipus Rex yang mana Oedipus mengahwini ibunya sendiri, Iocasta tanpa mengetahui status mereka (bacalah drama karya Sophocles ini. Satu karya penuh tragedi).

No comments:
Post a Comment