18 Februari 2010

Pengguna Jalan Raya
Taman Tun Dr. Ismail,
60000 Kuala Lumpur.
Pemandu Teksi Kurang Ajar
Kuala Lumpur dan Negeri-Negeri,
Persekutuan Malaysia.
Tuan,
TATASUSILA PEMANDU TEKSI DI JALAN RAYA
Dengan terlampau sukacitanya perkara di atas adalah dirujuk.
Saya mewakili para pengguna jalan raya, lebuh raya, jalan persekutuan, jalan bandaran, jalan negeri, jalan pintas, jalan kaki, kaki lima serta landasan lapangan terbang menyuarakan perasaan amat tidak berpuas hati dengan tingkah laku buruk sesetengah pemandu teksi yang semakin berleluasa ketika ini.
Sehingga surat ini ditulis, saya telah hampir dirempuh sebuah teksi kuning yang memotong laluan tanpa memberikan lampu isyarat di Bangsar. Ini mendorong saya untuk meneruskan usaha secara bertulis ini tanpa melalui saluran tertentu seperti Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang belum pasti bertindak walaupun beratus ribu mesej aduan dihantar kepada mereka.
Ingin saya ketengahkan satu persatu kesalahan dan ketidakdisiplinan anda:
1) Tiada budi bahasa
Berlawanan dengan konsep ‘Budi Bahasa Budaya Kita’, iklan di TV serta stiker pada teksi, anda sentiasa dilihat bermuka masam dan bercakap kasar dengan penumpang anda. Ingatlah bahawa anda bukanlah orang Perancis yang bercakap muncung sepanjang masa. Tolonglah sambut pelanggan anda dengan senyuman dan ucapan yang bersesuaian.
2) Mencekik darah dengan tidak menggunakan meter
Sudahlah tidak berbudi bahasa, hendak menipu pula. Anda tidak mahu menggunakan meter yang telah dipasang, sebaliknya menentukan caj perjalanan mengikut suka hati burung punai anda. Kesudahannya, ramai pengguna mengeluh kerana wang di dalam dompet cukup-cukup makan sahaja dan anda bersuka ria kerana mendapat imbuhan yang anda dapatkan.
3) Menjadi ulat di tempat-tempat tertentu
Pihak LPKP dan pengurusan tempat-tempat awam telah memberikan lesen kepada pemandu tertentu sahaja. Apakah anda yang tidak mendapat lesen mengada-ngada menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan seperti di lapangan terbang? Anda cukup bijak mengayat dan memcekik darah mereka. Apabila diserbu polis trafik/JPJ/pegawai LPKP pandai pula anda melarikan diri.
4) Tidak menggunakan lampu isyarat (signal)
Inilah jenayah paling teruk pada hemat saya. Oleh kerana anda tidak mahu menggunakan lampu isyarat semasa membelok, memasuki laluan mahupun untuk memotong, maka saya gelarkan anda sebagai kufur nikmat. Mengapa? Sebab lampu isyarat dicipta khusus untuk anda gunakan bagi tujuan yang telah disebutkan, tetapi anda langsung tidak menggunakannya. Bayangkan cicak peliharaan anda terpelanting dari basikal yang membrek mengejut gara-gara kebodohan anda memotong dan memasuki laluan tanpa isyarat. Sudahlah tidak memberi isyarat, membelok secara tiba-tiba pula. Kasihanilah kami. Kasihanilah syarikat pembuat kenderaan yang telah mencipta lampu isyarat untuk kegunaan tetapi anda kufur kerana tidak menggunakannya, malahan menyalahkan pengguna jalan raya lain pula.
5) Memarkir teksi di tepi jalan sekaligus menghalang lalulintas
Perkara ini saya sentiasa perhatikan di kawasan tumpuan pelancong. Apabila memandu, kami pula yang terpaksa mengelak kerana anda telah menghalang lalulintas yang disediakan untuk kami. Anda akan masuk, berhenti dan berbuat bodoh sahaja sehinggakan barisan trafik menjadi panjang. Rentetan itulah pekikan dan bunyian hon memekakkan halwa telinga kami. Jika berebutkan penumpang, anda sesuka hati berhenti di tengah-tengah jalan, mengakibatkan kemudaratan kepada pemandu lain.
6) Memotong dan memecut sesuka hati
Saya kerap diekori dan dicucuk oleh teksi yang ingin memecut laju. Entah dari mana datangnya anda menerjah jalan dengan penuh lagak, memotong tajam kemudian bermain-main kelajuan dengan kenderaan lain. Anda tidak seharusnya berkelakuan begini. Saya sarankan agar anda berlumba dengan Michael Schumacher jika mahu tunjuk ‘terer’. Sudah semestinya anda akan makan asap karbon monoksida saja.
7) Menolak permintaan penumpang sewenang-wenangnya tanpa alasan konkrit
Saya pernah melihat seorang penumpang yang mempunyai urusan kecemasan meminta dihantarkan ke sesuatu tempat. Dengan selambanya anda yang sedang bermalas-malasan dalam teksi dengan butang baju terbuka menolak permintaan beliau. Anda memberikan pelbagai alasan tanpa logika sehinggakan beliau terpaksa merayu. Itupun setelah ditawarkan dengan ayat “saya tak kisah nak bayar berapa” barulah anda mahu. Jika itu bukan kawasan anda sekalipun, sila nasihati penumpang sebaiknya dengan penuh ikhlas. Ini makian dan cacian yang kami terima.
8) Menggatal/melakukan onar terhadap penumpang wanita
Saya tahu anda bukannya kacak, tetapi jangan jadikan kesempatan dalam teksi untuk anda melakukan sebarang bentuk kegatalan terhadap penumpang wanita. Sudah banyak aduan mengenai kejadian sebegini menghiasi dada akhbar. Saya sarankan agar sebelum anda berniat melakukan maksiat teksi, fikirkan kekasih, isteri dan anak gadis anda yang mungkin menjadi mangsa gangguan seksual. Walau seberapa singkat skirt penumpang itu, anda haruslah mengawal nafsu kuda anda.
Justeru itu, adalah diingatkan kepada anda agar mengubah tabiat anda demi kebaikan ummah. Hanya anda mampu mengubahnya. Kami tidak akan teragak-agak akan menggunakan sebarang bentuk pengajaran, kelembutan dan kekasaran seperti merotan, mogok dan melancarkan perang telur busuk terhadap anda. Ingatlah bahawa anda sedang diperhatikan.
Kami menghargai usaha rakan pemandu teksi lain yang tidak bersalah dalam tugas mereka sebagai duta kecil negara, membawa pelancong, memudahkan pergerakan warga kota dan paling penting mencari rezeki halal untuk keluarga mereka.
Sekiranya surat ini merenggut jiwa sensitiviti anda, maka itulah sebab utamanya. Saya akhiri dengan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih.
"Berkhidmat Untuk Negara"
Yang benar,
PENGGUNA JALAN RAYA YANG MAHUKAN REFORMASI
6 comments:
Memang aku setuju pendapat ko Is...terutama bab mencekik darah ni.Penah aku balik dri langkawi dgn famili aku kat KL Central. Masa tu baru kul 11 mlm kot.Kereta aku parking kat NST.Nak x nak aku kena naik taxi.So u tau berapa dia charge?..rm40 hinggit.Just to NST only.Mintak kurang pun dia bg rm35.Mmg si**.Masa nak gi dari nst ke KL central cuma rm6 je...mmmmm..pikir2 kan
hahaha..bravo! i mmg sgt2 setuju ngn ur writing..i mmg sgt berbulu ngn pemandu teksi ni..rasa cam nk g sekeh2 tengkuk diorg..
Yup, pengalaman dan pemerhatian banyak menjadi panduan. Banyak kali dah aku terkena especially dengan teksi berwarna kuning. Jinx kot.
Bukan semua pemandu teksi camni. Ada yang benar2 ikhlas dan baik dlm menjalankan tugas mereka. Itu yang aku salute.
gaya bahasa yang bersahaja dan menikam dada...
sesuai dipanjangkan ke Karam Singh Walia dan rerakan....
bila cite-cite jelik pemandu teksi ni dihebohkan, sape yang malu dan tanam kepala dalam tanah cam burung unta?
sape lagi kalu bukan mereka dan kuarga mereka....
berusahalah otromen!
Mr. Pilot...
Dalam dunia kapitalis, manusia berlumba-lumba mencari laba hidup. Kita tidak lagi memperdulikan tata-susila. Masing-masing khususnya para dirver taksi berebut-rebut mendapatkan penumpang. Tak peduli lagi mencilok atau sebagainya. Mr. Pilot cuba mendapatkan fakta berapa banyak syarikat teksi di KL?... Mereka cukup susah untuk mendapat rezeki dan terpaksa menbayar sewa teksi dan sebagainya... kalau tak caya cuba sok sek dengan mereka.... susah ooo... tentang sikap yang melangar undang-undang tu aku setuju tapi kalau nak dibandingkan kat Bandung lagi teruk cuma bezanya ramai sanggup jadi volunteer menjadi polis trafic!. Jadi eloklah kita sesekali menjadi volunteer gitu...
Setuju!
Bila drop pelanggan, teksi berhenti ikut suka kepala depa.. kalau kita berhenti sekejap nak drop famili, tak sampai 2 saat dah hon bagai nak gila! Yg di lrt putra, rumah aku kat tmn melati boleh pulak taknak anta..Katanya dekat.. Kurang ajar! Bukannye aku suh anta free! Lebih2 lagi teksi di stesen lrt taman melati & lrt putra, gombak. Memang cilako! Bukan semua tapi majoriti!
Post a Comment