Monday, November 28, 2011

REPOST: Malam Satu Suro ke Satu Muharram?

Edisi REPOST sempena menyambut Tahun Baru Islam Maal Hijrah 1433H

Kalau disebut Malam Satu Suro, secara automatik kita akan terbayang filem seram Indonesia lakonan aktres Suzzanna sebagai Sundel Bolong. Seramlah juga, bila ditonton berseorangan. Tetapi, adakah ramai mengetahui kisah di sebalik malam satu Suro yang kononnya menyeramkan itu?

Dalam kaca mata Islam, bulan Suro atau Muharram (dalam kalendar Jawa) ialah bulan yang mulia, dalam bulan Muharam tersebut berbagai kisah sejarah terjadi seperti selamatnya Nabi Musa as dari kekejaman Fir'aun, selamatnya bahtera Nuh as dan kisah Nabi Yunus as yang juga terselamat keluar dari perut ikan Hiu, serta perkahwinan Rasulullah juga terjadi pada bulan Muharram. Sejarah paling penting yang membawa nama Islam dalam kancah dunia ialah peristiwa Hijrah Rasulullah saw dari Makkah ke Madinah dan menjadi dasar penetapan tahun Hijrah tersebut.

Sayangnya, bulan yang mulia ini telah disalah guna dan disalah ertikan sebahagian besar masyarakat Jawa yang mengaitkan dengan kekeramatan. Mereka lebih mempercayai kalau bulan Suro ialah bulan khusus untuk Nyi Roro Kidul (Ratu Laut Selatan, juga pernah dilakonkan si Suzzanna), bulan perkahwinan diharamkan, keluarnya pontianak, sundel bolong dan pelbagai macam kepercayaan tanpa dasar. Banyak juga ritual bidaah yang menyalahi syariat dilakukan oleh masyarakat Jawa pada malam 1 Suro, ada yang berendam dalam sungai untuk mendapatkan jodoh, bertapa dan mencuci benda-benda yang dianggap keramat.

Inikah yang seharusnya diamalkan oleh masyarakat Islam? Banyak keterangan dalam Qur'an dan Hadith yang memberikan kaifiat dan keistimewaan bulan ini semata-mata keredhaan Allah swt. Perlukah kita menurut sahaja tanpa selidiki makna disebalik keraian seperti yang diamalkan saudara kita di tanah Jawa?

Harus diingatkan betapa besarnya ujian Allah swt terhadap para kekasihNya di bulan itu. Nah, apakah tidak kita hargai pengorbanan dan insafi peristiwa lalu? Apakah kita sudah lengkap sempurna?

Fahamilah betul-betul pengertian bulan Suro itu. Rasanya perkataan Suro itu dipetik dari perkataan "Asyura" iaitu pada 10 Muharram. "Syura" disebut lama-lama jadilah Suro, ikut pelat Jawa. Tak salah menonton filem Malam Satu Suro, tapi jangan cepat melompat ketakutan bilamana bulan Suro disebutkan.

Khallas.

No comments: