Aku tengah keboringan di pagi 6 Syawal ni. Dan di Kuantan selepas fly dari Kuching malam tadi. Apa nak buat? So, apa kata aku kongsi dengan korang satu nukilan aku dulu... sekitar 2003-2004 begitulah kot. Selama ini asyik terperap je, so it’s time to publish... until my next fresh, proper entry on Aidilfitri.
Take note that I did not make any changes to the text... so to speak, the text is original. Enjoy reading and Salam Lebaran!
********************************
Serdang. Jam 3-9 malam.
Malam sebelumnya aku dan temanku membawa dua orang junior suntuk shooting di Bukit Jalil. Bila dah sedap duduk sambil perhati sekeliling, tiba-tiba satu perasaan menusuk kalbuku. Ingatanku terus melayang ke zaman lampau, kira-kira empat, lima tahun lalu.
Telah kutetapkan dalam jiwa ragaku: Esok aku mesti menjejak kasih di Serdang!
Usai sudah midterm subjek Error & Contrastive Analysis serta urusan kerajaan yang lain, aku drive ke Serdang. Kali ini temanku tiada, maknanya ini ialah urusan peribadi. Setelah 45 minit menempuh traffic jam (sebab tersalah jalan!) serta hujan lebat, aku tiba ke destinasi.
Untuk pengetahuan semua, aku berpindah ke Serdang dari Kuching masa awal Tingkatan Lima dan bersekolah di SMKSS. Sepanjang disana, aku mempunyai kumpulan sendiri yang diberi nama FISA 2TF. Kami sering bersama, banyak berbakti kepada sekolah serta kawasan Serdang amnya. That was in 1998. Sejak terputus hubungan, langsung tiada kedengaran khabar berita lantaran kesibukan dan komitmen masing-masing.
Aku memulakan pencarian ke kawasan-kawasan yang pernah kami lepak dulu. Tiada di sana maka aku teruskan pencarian ke rumah kawan-kawan yang masih diingati. Tiada orang, malah tidak berjawab, maka aku teruskan perjalanan ke rumah jiranku dahulu. Setibanya saja hatiku terguris melihat keadaan rumah lamaku. Sejak tiada penyewa, rumah itu kosong dan muram. Semuram wajahku. Tetapi yang bestnya kedatanganku ke rumah jiranku disambut gembira oleh mereka. Aku diasak dengan bermacam persoalan. Maka aku pun melepak disitu. Di kala itu, jiranku berjaya menghubungi rakanku, Haffiz dan dengan excitednya kami set untuk berjumpa pada pukul 6 petang.
Hafiz sampai tepat pada masanya. Kami bagaikan orang tak berjumpa 10 tahun. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada jiranku, aku dan Haffiz terus ke sebuah restoran. Sesampainya disana kami berborak bagai nak rak. Semuanya dihubungi dan disuruh datang bertemu ‘sahabat lama’. Kami banyak bercerita tentang masa-masa dulu serta kehidupan masing-masing. Nyatalah semua rakanku mempunyai komitmen tersendiri. Sibuk dengan kerja. Ada yang sudah bertunang. Yang lain ada yang langsung tiada khabar. Bila yang lain tiba, riuh satu restoran. Perangai lama kembali menjelma. Ya Allah, gembira kami bukan kepalang. Masing-masing sibuk bertanya khabar dan yamseng ramai-ramai. Dipendekkan cerita, pertemuan itu sungguh meriah. Haffiz juga masih menyimpan segala hasil nukilanku dulu untuk tatapanku. Telah kusalin semuanya untuk salinanku. Bila berpisah untuk balik, semuanya berkereta beriringan. Dulu berbasikal, kemudian jadi mat rempit dan sekarang berkereta.
Masa sekolah dulu, aku masih ingat semua sejarah yang berlaku antara kami. Semuanya. Mungkin sebab itu agaknya aku dapat pangkat satu paper SPM Sejarah. Dan, semestinya lagu yang popular pada zaman itu ialah lagu “Semangat Yang Hilang” nyanyian XPDC. Liriknya cukup menyentuh perasaan, ia mengembalikan segala nostalgia.
Tidak engkau seorang juang hingga titisan
Rempuh tak berharapan
Nanti aku disana di ufuk pemikiran
Lalu menghayatinya.
Didalam kubur manapun jasad aku ditanam
Aku, akulah jua
Kita laksanakan mata hati yang damai
Disana kejujuran.
Semarak impian segunung harap dipulang
Usah diragukan keupayaan diri
Hati yang membara mengikutkan kata-kata
Jawapannya disini, semangat kita hilang.
Semangat yang hilang, kita cari pulang.
Semarak impian segunung harap dijulang
Usahlah diragukan keupayaan sendiri
Hati yang membara mengikutkan kata apa
Jawapannya disini, semangat kita hilang.
Malu bertanya kawan, sesat cari jalan pulang,
Biar ia berkesan di lubuk hati terpendam.
Buat semua rakan-rakanku: Haffiz, Naim, Mat Nasir, Zack, Asheed, Aren, Adi, Ziwad, Lan, Nizam (semuanya geng FISA 2TF); Edda, Siti Halimatusaadiah, Ainul Aidura, Falin, Azian, Kamisah, Mardziah, Suzie dan lain-lain, thanks for everything during my spell in Serdang. Friends forever beb. Semangat kita tetap takkan hilang sampai bila-bila.
Kenangan lama terusik kembali.
*** Aku enjoy zaman persekolahan aku. Anda bagaimana?. Wohopp!***

No comments:
Post a Comment