Wednesday, December 2, 2009

Cahaya Untuk Lea (Bahagian 1)


Lea amat kecewa sekali. Kehidupannya seolah-olah direnggut. Diselubungi duka, hatinya kini tidak tenteram. Kesunyian mula memamah sisa-sisa kegembiraan yang pernah dikecapi sebelum ini.Segala kenangan manisnya serba sedikit terhakis, walaupun dia tidak merelakannya.

Dia menangis semahu-mahunya. Bantal dan tisu menjadi teman saban waktu dikala kesunyian. Sepanjang musim cuti ini panjang dirasakannya, walaupun cuma seminggu. Mahu sahaja dia kembali bertugas, tetapi dia sendiri yang bersungguh-sungguh untuk bercuti buat sementara waktu.


"Apakah kesudahanku? Dimanakah kegembiraanku?"


Malam itu Lea cuba tidur. Entah beberapa malam, tidurnya terganggu. Fikirannya berkecamuk. Entah bilakah kali terakhir dia tidur dengan lena sekali tanpa sebarang gangguan. Dia tidak mahu mengambil pil tidur, tidak sampai ke tahap itu lagi. Dengan baju tidurnya yang singkat selembut sutera, dia menyelimuti badannya yang berkulit cerah.


Tidurlah, pujuk dirinya sendiri. Tidurlah, biarlah mimpi-mimpi indah membuai diriku...


Dia terjaga dan mendapati dirinya berada di sebuah kawasan yang gelap. Tiada sesiapapun yang berada di situ. Hiruk-pikuk seperti suara keriangan terdengar sayup dan menghilang perlahan-lahan. Dengan kesejukan menggigit tubuh, dia menggagahi jua menyusuri kegelapan malam yang sepi itu.


Hujan mulai turun. Rintik-rintik air menembak tubuhnya. Dia menyesal kerana masih berpakaian sebegitu, hanya baju tidur singkat membalut tubuh. Menggigil kesejukan bercampur rasa penuh kekosongan dan kekecewaan, dia hampir putus harapan. Tiada tempat pergantungan, tiada gebar untuk diselimutkan. Dia berjalan seorang diri menuju ke haluan yang tidak diketahui.


Dihadapannya kelihatan seperti suatu cahaya kecil. Dia berhenti. Cahaya itu mendekati, tetapi anehnya tetap kecil seperti kerlipan bintang di syurga. Adakah dia sedang menuju ke arah cahaya itu atau sebaliknya, tidaklah dia mengerti. Dan apabila cahaya itu semakin hampir, dia berhenti dari perjalanannya sehingga kedua-duanya bertemu dekat.


Cahaya kecil itu seakan memanggilnya. Hatinya berkata demikian. Dan saat dia melangkah setapak ke arah cahaya itu, sinarannya bertambah terang dan menyilaukan. Dia hilang di dalam cahaya itu.


Akhirnya dia tiba di sebuah tempat cerah dan mendamaikan.


Alam aneh itu membuatkannya seperti di dasar laut, tetapi atmosferanya berwarna keemasan yang tidak pernah dilihatnya. Alam itu seperti tidak berjejak, tidak juga terapung. Semuanya seakan lutsinar.


Dia berasa amat selesa disini. Tiada lagi kesejukan dan hujan mengigit tubuh. Kelembutan bayu dan nyanyian alam yang mendamaikan membuatkannya alpa terhadap dirinya yang masih keseorangan. Dia masih terjeda dengan keindahan alam yang baru itu. Segalanya kelihatan nyata. Dia mula mencari cahaya kecil itu sambil berharap agar dibawakan ke alam yang lebih sesuai dengan jiwanya.


Cahaya kecil itu muncul semula dan kali ini ia berwarna putih keemasan. Cahaya itu mula berubah bentuk seperti simbol infiniti dan menampakkan susuk tubuh yang malar, tidak nyata.


Lea bertanya, "Siapakah awak?"


Cahaya itu tidak menjawab.


"Adakah awak yang akan mengakhiri hidup saya yang penuh derita ini?"


Cahaya itu tidak menjawab.


"Mengapa saya yang awak pilih? Mengapa ikut saya? Siapalah saya ini, wahai cahaya?"


Cahaya itu tidak menjawab, tetapi bersinar dengan lebih terang dan menerusi susuk tubuh yang kurang nyata itu, dia mula memahami.


"Sudikah awak menemani saya, wahai cahaya?"


Susuk cahaya itu mengangguk. Tiba-tiba, cahaya itu menghulurkan tangannya kepada Lea. Dia

menyambut tangan cahaya itu dan merasakan ketenangan seperti yang pernah didambakannya.


"Mari ikut saya, Lea. Saya tunjukkan awak sesuatu yang awak mahukan dalam hidup ini."


(Bersambung)

1 comment:

sheikh mustafa kamal al aziz said...

mr. pilot, hang cukup pandai ayat... cukup melankolik... ada satu falsampah: DI MANA ADA ...K DI SITU ADA GIRLS