Sebagai seorang penulis iklan, aku kena banyak membaca untuk lebih banyak pendedahan. Dengan kreativiti yang dijana daripada buah fikiran, sesuatu karya yang aku hasilkan mungkin memberikan kepuasan kepada pelanggan, pengarah, pembaca dan juga aku sendiri.
Baiklah disebabkan aku ini selalu kesepian, kadangkala aku suka memikirkan cerita riwayat hidup aku ini di alam fiksyen. Ada ketikanya aku tertidur dalam memikirkan idea dan juga kaedah untuk menjadikan hidup ini lebih menarik.
Entri aku kali ini ialah berdasarkan mimpi yang aku alami. Aku terjaga secara tiba-tiba dan terus duduk, memikirkan mimpi aku yang kekonon hebat sampai aku terjaga. Jangan buang masa, aku terus buka Mac Emelia aku dan terus menaip cerita berdasarkan mimpi itu. Sudahnya, ianya menjadi satu cerita pendek yang sebenarnya ada kaitan dengan kehidupan sebenar aku.
Cerita ini sebenarnya terilham pada hujung Januari, tetapi aku tak pernah menyiarkannya. Maka, bacalah.
******************
Dia berdiri keseorangan di anjung itu. Kemeriahan majlis perkahwinan
rakannya tadi tidak banyak menggembirakannya, bahkan dirinya terasa
seperti asing di situ. Dia melihat dirinya sebagai pelengkap seri
keraian yang sekadar datang menunjukkan wajah dan bersua dengan
rakan-rakan lain yang semuanya hadir bersama pasangan masing-masing.
Dia
melontarkan pandangan jauh ke luar. Sesekali langit direnung lama
seakan ada sesuatu yang muncul di sana. Pandangannya jauh tetapi kosong,
menerawang dalam kotak fikirannya sendiri. Fikirannya berkecamuk,
hatinya sepi dan rasa kesunyian menemani jasadnya ketika itu.
Sebentar
tadi, sesi fotografi bersama pengantin dijalankan bersama rakan-rakan.
Dia mahu menyertai rakan-rakan lain mengabadikan kenangan bersama
pengantin, walaupun dalam lingkungan itu hanya dia sahaja yang
bersendirian. Sehinggalah seorang rakannya berseloroh:
"Takkan sorang je kot. Kitorang semua bawak partner, kau nak join we all ke?"
Hatinya panas, hancur luluh mendengarnya walaupun sedar rakannya hanya berseloroh. Air mukanya berubah dan dia terdiam sejenak.
"Alaa aku memain jelah. Jom masuk line," pujuk rakannya.
"Aku taulah aku sorang je. Yelah, siapa nak kat aku." balasnya sambil tersenyum kelat.
Keghairahan
bergambar bersama pengantin dan yang lain tidak lagi terpancar, bahkan
dia rasa terasing. Senyuman dan gaya sekadar dibuat-buat, sedangkan
hatinya mula merintih sedih. Usai bergambar, masing-masing berbual
dengan pasangan mereka tanpa menghiraukan dirinya yang berdiri
keseorangan, cuba mencari keserasian topik untuk dibualkan bersama.
Langsung tiada peluang untuk itu. Kesemuanya asyik dengan topik
perbualan masing-masing.
Dia marah terhadap diri sendiri. Dia amat terasa hati.
Pada
matanya tadi kesemua yang dilihatnya seakan dongengan mindanya
semata-mata. Mungkin dirinya dilitupi hijab sehinggakan seorang pun
tidak menyedari kewujudannya di situ. Mungkin hijab itu juga membuatkan
tiada seorang pun gadis yang menyukainya.
Oleh kerana itu, perlahan-lahan dia berpaling dan berjalan menuju ke anjung.
Gelak
tawa suasana di majlis itu langsung tidak memberikan sebarang makna
buatnya. Dirinya seperti sampan kecil di tengah lautan yang dikelilingi
kapal-kapal mewah. Sungguhpun dia kelihatan agak segak bergaya, tetapi
kehadirannya seolah-olah tidak memberikan impak kepada tetamu yang lain.
Apakah yang tidak kena pada diriku sehingga kini masih keseorangan? Apakah tiada yang sesuai untukku?
Dia
merasakan masanya di sana sudah cukup dan mahu pulang. Biarlah
perlahan-lahan tidak disedari, lagipun pada hematnya, siapa peduli sama
ada dia pulang atau tidak. Direnungnya lagi langit itu. Pandangannya
cukup dalam.
"Kita hidup di dunia ini untuk
mempelajari kehidupan bersama manusia. Kita hidup, bercampur gaul,
bekerjasama dan menyayangi mereka. Bergembiralah walaupun kita dalam
kedukaan; kita lebih kuat dan berkuasa daripada mereka. Jangan gunakan
kelebihan kita selain membantu dan melindungi orang yang kita sayangi.
Kongsikan pandanganmu, kekuatan semangatmu dan kasih sayangmu untuk
mendidik mereka. Semaikan cinta kerana cinta yang mekar dari hatimu akan
menarik ramai insan mencintai kamu. Pertahankan kebenaran dari
kebatilan, lindungi dan sayangi mereka sehingga ke akhir kerana kitalah
harapan dan kegembiraan buat mereka. Sesudah tugasan kita di Bumi
berakhir, pulanglah dan sebarkan kasih sayang dan pengalamanmu ke serata
alam semesta."
Itulah yang bermain di benak
fikirannya. Dia mahu meyakinkan dirinya agar tidak terbuai dengan
perasaan sedihnya. Dia sentiasa merasakan dirinya lebih bertuah daripada
yang lain, walaupun hanya untuk seketika.
Bukannya dia
tidak mencari tetapi tiada satu pun yang membalas keikhlasan perasaan
cintanya. Bukan sebarangan gadis ditemuinya; berdarah campuran, bijak,
berfikiran terbuka, tidak tipikal, peramah, tidak sombong, bercitarasa
semasa, anggun, cantik dan memiliki ciri-ciri wanita pilihannya tetapi
dia seolah-olah dipinggirkan seperti usahanya sia-sia saja.
Memang
ada gadis lain yang ada, bahkan ada juga yang bermain mata dengannya
meminta perhatian tetapi semua itu tidak menepati citarasanya. Golongan
gadis yang selalu memberi perhatian kepadanya ialah yang tidak
berpelajaran tinggi, kitsch, mengamalkan kehidupan dalam
persekitaran tidak terbuka, kurang berusaha untuk memajukan diri, minda
sempit dan ada yang bercampur dengan golongan rempit serta tidak
bercitarasa semasa. Masakan dia mahu pasangan seperti ini?
Bukannya mendiskriminasi, tetapi dia menginginkan pasangan yang boleh dikatakan setara dalam aspek bertentangan. Opposite attracts,
kata orang. Dia sukakan gadis yang boleh berinteraksi dan berdebat
secara intelektual, berpandangan jauh serta berkongsi matlamat dan gaya
hidup yang sama. Dia tidak kisah sama ada gadis itu Melayu, Cina, Iban
atau berbangsa Kaukasia. Dia menganggap dirinya seorang bercitarasa
internasional. Dia sentiasa mahu kelihatan terbaik bersama pasangan yang
setara dengannya. Dia tidak mahu dianggap lelaki bercitarasa rendah dan
dia sendiri memang bukan lelaki bercitarasa rendah tetapi sesuai dengan
kemampuan fizikal dan intelektualnya.
Sesekali dia menyelami dirinya sendiri sambil menyusun satu persatu kekurangannya:
- Dia tidak kaya dan berharta.
- Dia tidak memiliki kereta idaman dan rumah.
- Dia tidak berkelulusan dari luar negara.
- Dia tidak bekerja sebagai ahli perniagaan atau seseorang berpengaruh.
- Dia mempunyai masalah dengan bank.
- Dia tidak kacak.
- Dia bukan tipikal Melayu.
- Dia mungkin berpandangan sosialis atau anti-establishment.
- Dia mungkin perfectionist.
- Dia mungkin sukar difahami.
- Dia mungkin bukan manusia.
Seks
bukan persoalan, kerana jika dia mahukannya dia boleh mencari belaian
wanita di kawasan tertentu. Hanya dia saja yang tidak mahu. Itu boleh
dikawal, hematnya.
Apa yang membuatkan dirinya lebih marah
apabila melihat lelaki yang langsung tidak memiliki kelebihan
intelektual, rupa dan citarasa sentiasa mudah menawan dan memikat hati
gadis-gadis cantik dan bijak seperti yang diminatinya. Setiap kali dia
melihat pasangan lelaki sebegitu dengan gadis yang langsung tidak
sepadan, dia akan menyumpah sendirian.
Sial! Sial! Sial!
Dia
tidak akan merendahkan taraf intelektual dan citarasanya hanya untuk
mengejar cinta. Tidak sama sekali, bahkan ianya boleh menjatuhkan maruah
dirinya. Dia tidak akan menjadi mat rempit, lelaki Melayu tipikal dan
sempit pemikiran. Dia tidak akan berkemeja polo dengan kolar ditegakkan
ke atas untuk memikat wanita yang persis pisau cukur. Tidak sama sekali!
"Awak, kenapa awak berdiri seorang saja di sini?"
Suara itu. Suara yang pernah didengarinya.
Dia berpaling. Biar betul!
******************
Begitulah kisahnya.