Mister Nestle ialah seorang Menteri Besar Negeri Pelangipura. Di bawah lereng bukit istana mewahnya itu tinggallah Setiausaha Kerajaan Negeri, Puan Susu Cap Junjung. Pentadbiran negeri yang dulunya aman makmur ini diperkuatkan dua orang Exco Kerajaan Negeri yang dikenali dengan sebagai Badan dan Nyawa. Mereka selalu bersependapat dan bermain bersama-sama di dataran bujur berdekatan dengan kompleks perbendaharaan negeri dan pusat penyejukan bahan. Pemerintahan mereka ini dinamakan Barisan Ketam.Berdekatan dengan kompleks itu bersemayamlah seorang polis berpangkat Syerif dan Tokey Kedai Siam. Akan mereka ini menjalankan tugas mereka atas dasar-dasar yang telah ditetapkan pihak pemerintah. Kadangkala terdapat pertentangan hujah dan idea antara mereka sebagai agensi/badan berkanun tetapi biasanya pihak pemerintah yang akan menang juga walau dalam apa jua situasi.
Negeri Pelangipura yang kononnya makmur ini dibahagikan kepada beberapa seksyen (ala-ala PJ & Shah Alam). Seksyen yang hanya beberapa kerat ini diketuai oleh ketua bahagian dan dihuni para rakyat marhaen yang bertanggungjawab dan berdedikasi tanpa sebarang diskriminasi dan prejudis. Mereka-mereka ini amat sayangkan negeri mereka dan kehidupan seharian mereka di situ boleh digambarkan dengan macam-macam aktiviti yang menyeronokkan dan mencabar minda dan logik pemikiran yang biasanya tidak diendahkan oleh pemerintahan Barisan Ketam. Walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, perpaduan mereka amat teguh dan ini banyak digambarkan melalui perbincangan di kedai kopi Che Mek Molek, Yahoo! Messenger mahupun laman blog.
Krisis politik negeri yang kononnya makmur ini dimulai dengan insiden tertunjuk perasaan oleh puak Tak Bai yang menetap di satu kawasan negeri itu. Kawasan itu memang terkenal dengan 'keras'nya dan diberitakan tiada sesiapa pun yang menetap lama di situ, seperti yang menimpa Polis Angkasa dan Sirip Ikan sebelum ini. Maka bersuaralah puak Tak Bai untuk menuntut keadilan untuk hak mereka. Akan tetapi, pihak pemerintah tersalah anggap dan menahan puak Tak Bai dibawah akta ISA. Disebabkan Mister MB tiada di dalam negeri, maka puak Tak Bai terus menerima serangan-serangan mental bertali arus dalam satu perbicaraan dan ini telah menyebabkan mereka menyerahkan taraf kewarganegaraan mereka lalu berhijrah ke negara lain dengan notis 24 jam, walaupun pihak pemerintah mahu menunaikan permintaan mereka. It's too late-lah. Perkembangan baru politik ini telah menaikkan kemarahan para rakyat marhaen yang sudah lama terpendam.
Susulan kejadian itu, pihak pemerintah yang mahu menutup pekung malu mereka bertindak dengan mengeluarkan pekeliling untuk mengadakan sidang parlimen di kompleks dewan undangan negeri yang terletak tidak jauh dari negeri itu. Sidang parlimen itu bertukar kepada debat perdana dengan pihak pemerintah menghentam keromo dan memaku dasar-dasar komunisme mereka terhadap rakyat. Beberapa wakil rakyat berhujah atas dasar kebenaran tidak mampu berbuat apa-apa selain duduk berasap dan memekakkan telinga. Maka perbincangan antara bahagian dan cawangan rancak berjalan dengan pelbagai isu semasa dan kupasan topik. Atas dasar cintakan keamanan dan kesejahteraan negeri mereka, mereka bersatu padu untuk menubuhkan satu gabungan yang memenuhi aspirasi mereka yang dikenali sebagai Pakatan Ungu.
Maka kononnya dikatakan bahawa Mister Nestle serta Badan dan Nyawa memiliki helikopter persendirian yang digunakan untuk tujuan pengintipan rakyat jelata sebelum sebarang tindakan diambil hasil daripada intipan dan siasatan mereka. Pada satu hari, mereka bertiga yang bersemayam di kerusi empuk mereka sambil menikmati video melalui buah epal dan jendela bersepakat untuk menjalankan operasi perisikan menggunakan khidmat remote control untuk mengawal penerbangan penyiasatan helikopter berkamera video itu untuk kepentingan politik mereka. Para rakyat hairan dengan kemunculan helikopter-helikopter ini di ruang udara mereka lantas duduk membatu membanting tulang dengan ketakutan. Setelah puas meronda negeri, helikopter ini mula berpecah untuk kembali ke halaman rumah masing-masing.
Bengang kerana bisingnya bunyi helikopter dan gangguan terhadap hal-hal peribadi beliau, Encik Juruterbang yang memiliki sebuah lapangan terbang menerbangkan tiga pesawat jet pejuangnya untuk mengejar dan menembak jatuh helikopter musuh. Maka berlakulah adegan kejar-mengejar di ruang udara dengan rakyat kali ini teruja dengan persembahan udara seperti pameran LIMA yang diakhiri dengan kemusnahan helikopter yang tragik dan mengerikan. Sebuah helikopter telah ditembak jet pejuang dan meletup di ruang udara. Sebuah lagi musnah setelah terlanggar gunung, manakala sebuah lagi jatuh mendadak hancur kebabom kerana kehabisan minyak. Lantas Encik Juruterbang menghubungi rakan-rakan beliau yang memiliki kereta F1 untuk memulakan operasi. Pemilik-pemilik kereta F1 ini seperti Encik Pereka Fesyen, Encik Jersi Biru, Encik Gimnasium dan Cik Artis Body Baik Punya menjalankan operasi sekatan jalan raya dan menghuru-harakan kemaraan pihak pemerintah untuk menghalang mereka daripada terus menindas rakyat jelata. Operasi ini juga disertai oleh Encik Speaker, Superhero Kelawar, Puan Drama Korea dan Puan Sri Silat Cekak Tujuh Petala Langit yang memainkan peranan mereka dengan begitu berkesan sekali.
Di kawasan perairan negeri pula, Encik Penyelam Bertauliah memainkan peranannya dengan mengarah segala jenis hidupan air seperti ikan jaws, piranha, buaya besar dan puaka Tasik Chini memasuki bilik-bilik air dan kolah mandi di rumah-rumah pemerintah. Ketakutan benar mereka. Encik Jean Todt pula bersekongkol dengan Encik Penunggang Skrembler untuk melarikan pelabur-pelabur asing dari negeri itu untuk memberikan 'padan muka' kepada Barisan Ketam.
Sehingga sekarang, pihak Pakatan Ungu menanti masa yang sesuai untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada terus dimonopoli Barisan Ketam. Tarikh belum lagi diumumkan oleh penasihat de-facto dan dijangka tidak memerlukan sebarang aktiviti lompat parti atau sogokan wang, wanita, seks, bom C4 ataupun gula-gula White Rabbit. Dan tetaplah juga Barisan Ketam ini mahu mengajar anak-anaknya, iaitu rakyat marhaen untuk berjalan lurus. Luruslah kan... terkedek-kedek jugak si bapak ketam.
Cita-cita kita yang mulia, berjaya Pelangipura."
(nyanyi ikut lagu kebangsaan Singapura, Majulah Singapura)
Sebab itukah? Sebab aku kumpul model kapal terbang? CEO tak puas hati sebab aku ada kapal terbang Airbus A380-800 Superjumbo ke? Sebab CEO takde free time nak bergambar dengan Ultraman Mebius kat Sungei Wang Plaza tempoh hari? Takkanlah kan. Adakah sebab aku tidak berminat menceburi politik? Mungkin juga.
Oh my god, I think I'm doomed.



